Malaysia raih perak, gangsa di kejohanan boling dunia

KUALA LUMPUR, 16 NOV – Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Boling Dunia berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan meraih pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita.

Pasukan wanita dibarisi Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Mohamed Roslan, Nur Syazwani Sahar dan Faten Najihah Ahmad Faik akur terlepas gelaran juara selepas tewas kepada Amerika Syarikat (AS) dalam aksi peringkat hari ini.

Malaysia mendahului apabila memenangi permainan pertama 190-170 sebelum AS yang dibarisi Missy Parkin, Jordan Richard, Danielle McEwan dan Kelly Kulick bangkit menyamakan kedudukan selepas memenangi permainan kedua 171-215 sekali gus mengheret kepada permainan penentuan menyaksikan AS menang 40-38.

Sambil melahirkan penghargaan kepada peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan, Siti Safiyah bersyukur dengan pingat perak yang dimenangi di kejohanan dunia dengan mengambil kira setelah hampir dua tahun tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif susulan pandemik COVID-19. – Bernama