Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Malaysia rampas bahagian haiwan bernilai RM80j

    PELABUHAN KLANG, 18 JULAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai bahagian badan haiwan liar termasuk gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling dan taring harimau bernilai kira-kira RM80 juta yang disorok di belakang timbunan kayu bergergaji dalam sebuah kontena, 10 Julai lepas.

    Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata kontena dengan muatan barangan itu dikesan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, dan ia merupakan rampasan terbesar pernah dicatatkan JKDM yang membabitkan bahagian haiwan liar.

    Katanya antara rampasan terbesar yang pernah dilakukan JKDM sebelum ini adalah pada 2014 yang melibatkan kulit tenggiling bernilai RM40 juta, dan pada 2012 yang melibatkan gading gajah bernilai RM2.4 juta.

    “Kontena yang dipercayai berasal dari negara di Afrika itu sepatutnya berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor untuk dialihkan ke kapal lain, namun selepas kita mendapat maklumat berkenaan penyeludupan, kita bertindak menahan kontena itu di Pelabuhan Barat,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan fizikal ke atas kontena berkenaan membawa kepada penemuan gading gajah dianggarkan seberat 6,000kg;  tanduk badak sumbu 29kg; sisik tenggiling 100kg, tanduk haiwan 14kg dan tengkorak serta tulang haiwan 300kg, disorok di belakang timbunan kayu bergergaji.

    Zazuli berkata pihaknya percaya Malaysia telah dijadikan sebagai negara transit sebelum barangan itu dibawa ke negara lain untuk dipasarkan. 

    Katanya semua barang berkenaan adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. 

    Beliau berkata tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan siasatan ke atas pengimport dan ejen perkapalan masih dijalankan. – Bernama

    Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan (depan, tiga kanan) menunjukkan gading gajah yang berjaya dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...