Malaysia rekod 2,985 kes baharu

PUTRAJAYA, 13 JAN – Sejumlah 2,985 kes harian baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 144,518 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata bilangan kes COVID-19 yang sembuh bagi tempoh sama ialah 994 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 111,578 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 32,377 kes,” katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19 di sini hari ini

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan hari ini, dua merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes diikuti Johor dengan 535 kes dan Sabah yang mencatatkan 450 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata sehingga kini, terdapat 197 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 79 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata terdapat empat kematian hari ini membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita termasuk dua bukan warganegara.

Katanya tiga kematian berlaku di Sabah manakala satu lagi di Johor. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Bernama