Malaysia rekod jumlah kematian tertinggi baharu

KUALA LUMPUR, 9 MEI – Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam menunjukkan penurunan apabila mencatat 3,733 kes selepas dua hari merekodkan kes positif harian lebih 4,000, namun terdapat 26 kes kematian dilaporkan hari ini, iaitu jumlah tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini ialah 440,677, manakala angka keseluruhan kes kematian akibat wabak itu meningkat kepada 1,683 orang.

Beliau berkata pecahan kes baharu merangkumi 3,727 kes penularan tempatan dan hanya enam kes import, sementara jumlah kes aktif kini sebanyak 37,060.

“Kes kematian melibatkan 25 warganegara dan seorang warga asing berumur antara 49 hingga 85 tahun dengan majoritinya mempunyai latar belakang penyakit kronik,” katanya dalam kenyataan rasmi mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Semalam, Malaysia melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 25 kes.

TUTUP… Suasana janggal di sebuah pusat beli-belah yang kosong pada hari minggu setelah premis tersebut tersenarai di dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) diarahkan tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta ketika tinjauan Bernama kelmarn. – Bernama

Dr Noor Hisham berkata Selangor masih merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,278 kes diikuti Sarawak (454), Johor (365) dan Kuala Lumpur (338), Pulau Pinang (280 kes), Kelantan (254) dan Negeri Sembilan (205)

Kedah pula mencatatkan 176 kes diikuti Pahang (100), Perak (80), Sabah (61), Melaka (66), Putrajaya (20) dan Labuan dengan enam kes, manakala Perlis hanya satu kes.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 3,211 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh sama menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih kini 401,934, sementara 416 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 216 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu turut memaklumkan 13 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan lima kluster di tempat kerja, lima kluster komuniti, dua kluster keagamaan dan satu kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kluster di tempat kerja membabitkan Kluster Jalan Satu dan Kluster Lorong Tiung di Selangor, Kluster Tapak Bina Jalan Tun Hussein Onn dan Kopitiam Kampung Selamat di Pulau Pinang serta Kluster Kawasan Industri Dua di Johor. – Bernama