Malaysia rekod trend penurunan kes COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 OKT – Malaysia merekodkan trend penurunan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini apabila mencatat penurunan kes sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada ME ke-42 dari 17 hingga 23 Oktober, kes baharu COVID-19 menurun 20.7 peratus daripada 52,321 kes dalam (ME ke-41) kepada 41,508 kes  semasa ME ke-42. “Purata kes aktif juga menunjukkan penurunan 21 peratus daripada 105,497 kes (ME ke-41) kepada 83,605 kes (ME ke-42) sementara kes kematian menurun 16.4 peratus daripada 593 kes (ME ke-41) kepada 496 kes (ME ke-42).

“Bagi kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula menurun 16.5 peratus, sementara kes memerlukan bantuan pernafasan menurun 14.4 peratus dengan kadar kebolehjangkitan (RT) kekal stabil sekitar nilai 0.88,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata secara kasar, negara-negara di Asia Tenggara menunjukkan trend penurunan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini namun dua negara jiran iaitu Singapura dan Brunei menunjukkan trend peningkatan kes COVID-19.

Katanya kedua-dua negara itu menunjukkan kadar kes bagi setiap satu juta penduduk yang lebih tinggi berbanding Malaysia (180.91 kes) iaitu pada kadar 584.86 kes (Singapura) dan 499.88 kes (Brunei). – Bernama