SHAH ALAM, 29 Ogos – Malaysia akan menyangkal dakwaan bahawa ia melakukan penipuan dagangan, dan perkara itu akan diperjelaskan semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bulan depan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini tegas mempertahankan bahawa negara tidak melakukan penipuan dagangan sebaliknya Malaysia adalah sebuah Negara yang kompetitif dan mementingkan perdagangan dua hala.
“Perkara ini sudah pasti akan dibincangkan semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Trump bulan depan, dan kita akan memperjelaskan situasi tersebut.
“Kita mempunyai percanggahan yang besar mengenai angka dagangan, memandangkan kita merekodkan lebihan US$5 bilion dengan AS, manakala AS merekodkan kira-kira US$25 bilion,” katanya?????? kepada pemberita di luar majlis perasmian Klinik Perubatan dan Pergigian, serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan???????Top Glove Global Doctors di sini, hari ini.
Laporan berita baru-baru ini memetik pentadbiran Trump mendakwa bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menipu angka perdagangan.
Mustapa berkata, terdapat perbezaan besar antara US$5 bilion dan US$25 bilion, sekali gus Malaysia perlu memperjelaskannya, memandangkan AS juga mengambil kira perdagangan tidak langsung.
“Menipu bermaksud, kita menjual di bawah harga pasaran di kaunter dan berdasarkan keadaan itu terdapat peraturan yang ditetapkan,” katanya. – Bernama