KOTA KINABALU, 11 April – Malaysia sedang mengorak langkah untuk menjadi hab pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan menyasarkan sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik di jalan raya menjelang 2030.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pasaran kenderaan elektrik telah ditetapkan dalam Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan Electric Mobility Blueprint (EMB).
“Dengan sasaran itu, sektor pengangkutan kerajaan perlu memulakan langkah untuk membangunkan Sektor Teknologi Hijau dengan lebih agresif. Kesedaran dalam kalangan rakyat juga amat penting untuk menghasilkan landskap mobiliti rendah karbon di Malaysia.
“Oleh itu pengguna perlu diyakinkan bahawa kenderaan elektrik merupakan salah satu pilihan yang setanding dengan kenderaan sedia ada pada masa ini,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Program Sikal Elektrik Rakyat 1Malaysia (SER1M) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dekat sini, hari ini.
Ongkili berkata Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan EMB ilaksanakan
untuk menangani isu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang memberikan tumpuan kepada pembangunan industri kenderaan elektrik. – Bernama