Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia sedia beri kelulusan segera untuk penerbangan sewa khas

    PUTRAJAYA, 15 MEI – Kerajaan Malaysia bersedia memberi kelulusan segera untuk perkhidmatan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik kedatangan pelancong, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Bercakap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Ke-menterian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini hari ini, Anwar berkata ia selaras dengan peranan kerajaan sebagai pemudah cara dalam urusan MOTAC untuk menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

    “Jadi soal soal teknikal dia (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing) sudah minta. Soal visa semua saya sudah bincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

    Kalau peringkat awal ini, yang kita boleh segerakan ialah penerbangan sewa khas,” katanya.

    Pada Februari lepas, Tiong menerusi hantaran di laman Facebook mencadangkan  syarikat penerbangan tempatan untuk membuat penyelidikan dan membangunkan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik dan memudahkan kedatangan pelancong ke
    negara ini.

    Menyifatkan industri pelancongan sebagai penjana pendapatan utama negara, Anwar berkata kerajaan akan memberi pertimbangan kepada setiap strategi yang dicadangkan MOTAC.

    “Apa sahaja tindakan yang sesuai itu, harus kita beri pertimbangan boleh menyenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia,” katanya.

    Sementara itu, Tiong berkata untuk suku pertama tahun ini, seramai 4.38 juta pelancong luar telah memasuki negara dan daripada jumlah tersebut, 178,150 merupakan pelancong dari China. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing melawat gerai makanan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pelancongan di Putrajaya kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda