Malaysia sedia jadi penggerak utama majlis hak asasi manusia

KUALA LUMPUR, 8 OKT – Malaysia berusaha menjadi pemudah cara untuk pendamai, penggerak kerjasama dan perancang permuafakatan apabila menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menerusi perutusan video berhubung pencalonan Malaysia untuk menganggotai majlis itu bagi penggal 2022-2024, Saifuddin berkata Malaysia sedia memainkan peranannya sebagai rakan yang konstruktif dan bekerjasama rapat dengan negara anggota bagi memajukan agenda hak asasi seperti yang termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

Beliau menyatakan, pandemik COVID-19 mencetuskan krisis ketidakseimbangan sosial ekonomi dunia, menjejaskan kehidupan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Krisis itu juga menyaksikan peningkatan sentimen perkauman dan xenofobia serta mencetuskan pelbagai ancaman ke atas kumpulan terpinggir.

“Dalam konteks ini, fungsi Majlis Hak Asasi Manusia menjadi semakin penting berbanding sebelumnya bagi memastikan krisis kesihatan awam tiak bertukar menjadi krisis hak asasi manusia global,” katanya menerusi video berkenaan yang dimuat naik dalam akaun Twitter rasmi Kementerian Luar.

Saifuddin menegaskan, hak asasi manusia perlu menjadi aspek penting dalam semua usaha ketika negara dunia menyediakan kerangka kerja untuk pemulihan berkekalan dan menyeluruh. Beliau berkata, komuniti dunia perlu berusaha lebih keras untuk mencari titik pertemuan untuk sama-sama dapat bangkit dengan lebih kuat, secara aman serta memastikan tiada yang ketinggalan. – Bernama