Malaysia sedia kongsi penemuan rawatan COVID-19

KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Malaysia akan berkongsi hasil penemuannya dengan pakar dan saintis dari ASEAN dan rakan pakatan Campur Tiga – China, Jepun dan Korea Selatan – untuk bersama-sama berusaha mencari vaksin COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai COVID-19 yang dijalankan melalui persidangan video hari ini, beliau berkata Malaysia adalah antara negara pertama yang bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk projek penyelidikan ‘Solidarity Trial’ bagi mencari ubat yang berpotensi untuk pandemik berkenaan.

“Penglibatan dalam ujian yang diselaraskan secara global membolehkan kami mengumpul data, membandingkan keselamatan dan keberkesanan protokol rawatan menggunakan gabungan ubat yang berbeza,”
katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata adalah penting rakan-rakan Campur Tiga bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi memastikan Asia Pasifik sebagai sebuah rantau, pulih daripada krisis ini.

“Sebagai contoh, kita boleh belajar dari China mengenai sekatan pergerakan yang mereka telah dikenakan di wilayah mereka dan apa yang telah  mereka lakukan selepas menamatkan sekatan ini.

“Bagi Malaysia, China telah bersama kami sejak dari awal lagi, dan kami sangat menghargai bantuan yang diberikan oleh China kepada Malaysia pada masa kami memerlukannya.

Bagi pihak rakyat Malaysia, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada China atas segala yang telah mereka lakukan terhadap kami dalam menghadapi pandemik COVID-19.

“Dengan Jepun, kita dapat mempelajari bagaimana mereka telah berjaya melaksanakan pakej rangsangan terbesar di Asia Pasifik dan bagaimana kita sebagai negara di ASEAN dapat mengambil apa yang baik untuk negara kita dan dengan Korea Selatan, penyelesaian mereka untuk ujian massa sangat berguna bagi kita di ASEAN belajar dan melaksanakan di negara kita,” kata beliau. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 menerusi persidangan video di Perdana Putra, kelmarin. – Bernama