Malaysia sekat pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara

PUTRAJAYA, 7 SEPT – Kerajaan tidak membenarkan pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia berkuat kuasa hari ini.

Menurut senarai yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dalam hantaran di laman Facebook rasminya, negara terbabit ialah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina dan Chile.

Turut disenaraikan ialah Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Pada Selasa lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekatan kemasukan pemegang pas lawatan jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia bermula hari ini berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara berkenaan.

Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia. – Bernama

Gambar fail Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra, pada 1 September lalu. – Bernama