Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia setuju selaras tarif elektrik

    KUALA LUMPUR, 29 Jun – Berikutan peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj, kerajaan memutuskan supaya kos itu dilepaskan dalam bentuk surcaj ‘kos tak berimbang’ (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai, 2018 hingga 31 Dis, 2018.

    Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataannya hari ini berkata kerajaan turut menetapkan surcaj ICPT tersebut dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh yang sama.

    “Pelarasan ICPT ini tidak melibatkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 300 kWj.

    “Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 300 kWj, mereka akan mengalami penurunan atau kenaikan yang minimum dalam bil elektrik iaitu dianggarkan antara RM0.09 dan RM4.89 sebulan, dengan mengambil kira pelaksanaan kadar 0.0 peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1 Jun 2018,” katanya.

    Menurut ST, ia berikutan persetujuan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan kerangka kerja kawal selia berasaskan Insentif bagi penetapan dan pelarasan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh kawal selia tiga tahun yang kedua bermula pada 2018 hingga 2020.

    Di bawah IBR, tarif elektrik mempunyai dua komponen utama, iaitu tarif asas yang tidak berubah dalam tempoh kawal selia IBR dan ICPT dalam bentuk rebat atau surcaj dalam tarif pengguna yang dilaksanakan setiap enam bulan.

    Menurut ST, ICPT adalah untuk melepaskan apa-apa kos tak berimbang, iaitu perbezaan antara kos sebenar bahan api serta kos lain penjanaan yang didapati munasabah dan di luar kawalan TNB dengan kos unjuran yang diguna pakai dalam penetapan tarif asas bagi tempoh enam bulan sebelumnya, jelas ST. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda