Malaysia siap siaga hadapi koronavirus

SEPANG, 27 JAN – Malaysia sentiasa dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi penularan penyakit berjangkit dan bersedia memberi gerak balas terhadap sebarang kecemasan melibatkan kesihatan awam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pihak berkuasa kesihatan telah banyak belajar melalui wabak yang berlaku sebelum ini seperti virus Zika dan Nipah termasuk polio dalam menguruskan situasi itu.

Oleh itu, katanya tidak mengejutkan apabila Malaysia berada pada kedudukan ke-18 dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara yang dinilai berhubung persediaan dalam menghadapi risiko yang memberi kesan besar dan bencana biologi global.

“Kita mahu menjadi lebih baik dan berada pada kedudukan 10 teratas. Kita (Malaysia) mempunyai pengalaman dan sejarah menghadapi jangkitan virus,” kata Dr Dzulkefly kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, hari ini.

Dalam Indeks itu, Malaysia berada di hadapan Singapura yang menduduki tangga ke-24, manakala Indonesia ke-30 dalam senarai itu. Bagaimanapun, Thailand berada di hadapan Malaysia pada kedudukan keenam.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan tersebut bersama pihak kerajaan China.

Sejak timbulnya kes jangkitan koronavirus di China minggu lepas, kerajaan Malaysia telah mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jelas kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan turut mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan itu daripada merebak dengan meluas.

Kerajaan juga, menurut kenyataan itu, ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan koronavirus tersebut yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarkat umum. – Bernama

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) melihat skrin Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kelmarin. – Bernama