Malaysia, Singapura dalam proses iktiraf sijil vaksinasi COVID-19

MUAR, 24 SEPT – Kerajaan Malaysia dan Singapura kini dalam usaha untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau baru-baru ini telah berhubung dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara itu, dan pada dasarnya kerajaan Singapura bersetuju.

Beliau berkata buat masa ini Singapura agak berhati-hati untuk membuka sempadan antarabangsanya kerana kes COVID-19 dan proses vaksinasi kedua-dua negara masih belum selesai.

“Rakyat Malaysia mahu ke Singapura dan (rakyat) mereka juga mahu ke sini, ini kerana hubungan kedua-dua negara ini begitu rapat apabila ada sahaja urusan termasuk perniagaan yang berlaku setiap hari.

“Dan apabila ia (sempadan) tidak dapat dibuka, ia menjadi masalah besar,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Bersama Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, dekat sini, hari ini.

Gambar fail bertarikh 16 September menunjukkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas sesi dialog bersama Pengusaha Hotel, Pengusaha Homestay, Pengusaha Kereta Sewa dan Pemandu Teksi Langkawi. – Bernama

Sehingga kini aktiviti rentas sempadan kedua-dua negara yang dibenarkan hanyalah yang membabitkan lori dan treler yang dibenarkan, setelah mendapat suntikan vaksin di Singapura.

Muhyiddin berkata sekiranya perkara itu dapat diperhalusi dan mendapat persetujuan (pengiktirafan) Singapura, ia akan turut membuka peluang perbincangan melibatkan sempadan di negara lain termasuk juga Thailand.

“Sekarang ini dalam mana-mana peringkat mesyuarat kita akan berbincang waktu sempadan negara kita, bila ia boleh dibuka, sama ada kepada pelancong luar mahu pun rakyat kita sendiri.

“Kita juga akan meneliti daripada data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia, serta soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada isu rentas sempadan antara perkara-perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat MPN minggu hadapan. – Bernama