KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Malaysia dan Singapura akan bekerjasama untuk membina kapal sokongan luar pesisir (OSV) hijau yang pertama di Malaysia, projek berkenaan bernilai kira-kira AS$25 juta Perkongsian strategik itu akan melibatkan tiga pemain utama pembinaan dan pembaikan kapal tempatan (SBSR) dan sebuah syarikat hijau yang inovatif dari Singapura.
Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM), Soo Jee Main berkata projek OSV itu akan bermula pada tahun depan dan dijangka siap antara 18 hingga 24 bulan.
“Kerjasama ini sangat penting kerana seluruh dunia sedang bergerak ke arah menyepadukan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam semua sektor seperti industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) juga tidak terkecuali.
“Ia akan menarik lebih banyak pelaburan asing serta kerjasama dan diharapkan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam industri maritim,” katanya ketika berucap pada majlis Kerjasama Strategik Membina OSV Hijau Pertama di Malaysia, hari ini.
Pemain SBSR tempatan ialah Gred One Marine Shipyard Sdn Bhd, Muhibbah Marine Engineering Sdn Bhd dan Shin Yang Shipyard Sdn Bhd, manakala syarikat yang berpangkalan di Singapura adalah Evolution Concepts Pte Ltd. Soo berkata syarikat-syarikat dari Malaysia akan menyediakan kemudahan limbungan dan pembinaan kapal secara menyeluruh manakala syarikat Singapura akan mereka bentuk kapal tersebut dengan menggunakan teknologi hijau.
Pengarah Urusan Evolution Con-cept, Kelvin Chong berkata OSV akan menampilkan Sistem Bateri Blue G yang akan meminimumkan penggunaan set penjana.
“Seiring dengan kemajuan tek-nologi, ia akan ada penyelesaian yang lebih mampan untuk generator utama untuk melengkapkan sistem bateri.” – Bernama