KUALA LUMPUR, 23 OGOS – Malaysia dan Singapura memuktamadkan dua kerangka kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
MITI dan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) menjelaskan kerangka itu berfungsi sebagai asas untuk inisiatif dua hala masa hadapan yang berkaitan dengan ekonomi digital dan hijau. Malaysia dan Singapura juga bersetuju untuk melaksanakan usaha ke arah pemeteraian kerangka itu pada akhir 2022, menurut kenyataan bersama MITI dan MTI yang dikeluarkan.
Kerangka itu telah dimuktamadkan selepas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong bertemu di Singapura pada 22 Ogos lalu.
Menurut kenyataan itu, kerangka ekonomi digital akan memudahkan kerjasama yang diperhebat dalam bidang seperti pemudahan perdagangan; identiti digital; piawaian; penggalakan pelaburan; pemudahan pendigitalan serta pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini akan membuka peluang yang lebih luas, memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan rakyat di kedua-dua negara,” jelasnya.
Menurut kenyataan bersama itu, Singapura dan Malaysia akan mengukuhkan kerjasama dalam ekonomi hijau untuk nyahkarbon industri selain membolehkan perniagaan dan pekerja merebut peluang yang muncul. Mengikut kerangka ekonomi hijau, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam mobiliti generasi akan datang termasuk memasukkan kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu selain pertukaran dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), tambahnya.
Mengenai kerangka ekonomi digital, Mohamed Azmin menyatakan keyakinan bahawa ia sejajar dengan agenda MyDigital, yang akan memperkasakan perniagaan untuk menyepadukan operasi mereka secara digital di peringkat global, seterusnya meningkatkan daya saing ekonomi.– Bernama