Malaysia, Singapura kongsi pengetahuan harungi COVID-19

SINGAPURA, 20 MEI – Malaysia dan Singapura akan terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam mengharungi pandemik COVID-19 selain kekal komited terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

“Masa sukar itu akan diharungi secara bersama dan lebih teguh,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam catatan di akaun Facebook pada malam Selasa selepas menghubungi rakan sejawatannya, Heng Swee Keat, menerusi sidang video.

“Ia merupakan sesi berkongsi pandangan yang amat bermakna membabitkan cabaran kesihatan dan ekonomi yang dihadapi ketika COVID-19 serta bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mengatasinya.

“Doa saya sentiasa mengiringi anda dan semua rakyat Singapura ketika tempoh sukar ini. Terus tabah dan sentiasa selamat,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Heng menerima panggilan itu. – Bernama