SINGAPURA, 16 Jan – Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala bagi projek Rapid Transit System (RTS) Link, antara Johor Bahru dan Singapura sejauh 4 kilometer, pada Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia kelapan di sini.
Sistem MRT rentas sempadan itu, yang diumumkan pada 2010, akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura.
RTS Link mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila siap pada 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dan Pengangkutan republik itu, Khaw Boon Wan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di Istana, di sini.
RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Najib berkata RTS akan menyediakan hubungan yang lancar dan kuantiti (dari segi kapasiti) yang diperlukan.
Perdana Menteri yang mengakui bahawa ia merupakan satu projek yang kompleks tetapi boleh dilaksanakan, berkata cabaran teknikal boleh diatasi dan beliau sangat yakin RTS mampu mengubah ciri-ciri rangkaian hubungan Malaysia dan Singapura pada masa depan.
Beliau berkata kedua-dua negara sedang mengkaji untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan ulang-alik KTMB kepada 31 perjalanan daripada 26 perjalanan ke Woodlands ketika ini.
Selain daripada itu, kedua-dua negara itu juga menimbang mengkaji semula tol di Laluan Kedua untuk menarik lebih ramai orang menggunakannya sebagai laluan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, katanya.
Lee yang turut senada dengan Najib, berkata Laluan RTS akan menggantikan Laluan KTMB ke Woodlands apabila ia beroperasi pada 2024, tetapi buat sementara ini, kedua-dua negara akan meningkatkan kekerapan ulang alik perkhidmatan KTMB, sebagai satu cara untuk menangani kesesakan.
“Hubungan yang dipertingkatkan itu juga akan meningkatkan kerjasama ekonomi di Iskandar Malaysia,” katanya.
Sementara itu, mengenai apakah kriteria yang akan digunakan oleh kedua-dua kerajaan untuk memilih pembida yang berjaya bagi Assets Company untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Najib berkata ia adalah satu penilaian menyeluruh, penilaian pelbagai dimensi dan bukan hanya mengambil kira faktor-faktor fizikal dan kos tetapi juga jangka hayat projek yang bermakna kos kitaran hayat, penyenggaraan dan memaksimumkan kandungan tempatan.
“Sehubungan itu, orang ramai akan melihat HSR yang benar-benar membawa manfaat sebenar, manfaat ketara walaupun semasa tempoh pembinaan,” katanya.
Lee berkata sejak kedua-dua negara menawarkan tender bersama bagi Assets Company pada bulan lepas, ia telah mendapat minat yang tinggi daripada pihak antarabangsa.
Menurutnya, pemerolehan akan dijalankan secara adil, terbuka dan telus. – Bernama