Malaysia, Singapura sepakat laksana laluan hijau

KUALA LUMPUR, 14 JULAI – Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan  Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan  Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA), dengan tarikh pelaksanaan yang disasarkan pada 10 Ogos 2020, untuk memenuhi keperluan penduduk kedua-dua negara, membabitkan perjalanan rentas sempadan.

Perkara itu diumumkan hari ini dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr. Vivian Balakrishnan.

Menurut kenyataan itu, mereka yang melakukan perjalanan perlu memenuhi syarat kedua-dua skim, mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19, yang disepakati kedua-dua negara, termasuk menjalani ujian swab tindak balas rantai polimerase (PCR). RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan rasmi dan perniagaan penting antara kedua-dua negara.

“Mereka yang melakukan perjalanan juga perlu menyerahkan kepada pihak berwajib kedua-dua negara mengenai jadual perjalanan dan mematuhinya sepanjang tempoh lawatan mereka,” jelas kenyataan itu. Sementara itu, PCA membolehkan rakyat Singapura dan Malaysia, yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan bekerja, memasuki negara itu.

“Setelah sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut di negara tempat mereka bekerja, mereka boleh balik ke negara asal untuk tujuan cuti pendek, dan kemudian masuk semula ke negara tempat bekerja sekurang-kurangnya tiga bulan lagi,” tambah kenyataan itu. – Bernama