‘Malaysia stabil, makmur baik untuk Singapura dan serantau’

SINGAPURA, 13 SEPT – Malaysia yang stabil dan makmur baik untuk Singapura dan rantau ini, kata Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan.

Balakrishnan berkata demikian di Parlimen hari ini sebagai menjawab pertanyaan, antara lain, adakah keadaan politik semasa di Malaysia memberi implikasi terhadap Singapura.

“Kerajaan Singapura mengikuti rapat perkembangan di Malaysia,” katanya, sambil menambah bahawa “Pendirian Singapura adalah konsisten iaitu bekerja dengan kerajaan hari ini (government of the day).”

Menteri itu menyatakan bahawa Singapura dan Malaysia akan sentiasa saling berkaitan dan bergantung.

“Kami komited untuk terlibat dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia yang baharu untuk memperoleh hasil dan manfaat bersama bagi jangka panjang. “Ini sangat penting agar kedua-dua negara kita dapat pulih daripada pandemik COVID-19 dan menjadi lebih kuat,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa kerjasama dua hala akan terus berkembang demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

Balakrishnan berkata pemimpin Singapura sudahpun mengenali Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob, dan anggota Kabinetnya.

“Dan selama ini telah bekerjasama dengan mereka dalam pelbagai isu dua hala dan serantau,” katanya. – Bernama