Malaysia-Switzerland kerjasama penyelidikan halia hitam

SHAH ALAM, 21 NOV – Janna Farm Sdn Bhd (JF) dan Swiss PharmaCan AG (SPC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membolehkan produk ekstrak halia hitam Langkawi yang diusahakan JF serta herba dan rempah ratus ubatan Malaysia yang lain memasuki pasaran dunia.

Pengarah SPC, C.K. Low berkata pada majlis menandatangani MoU di pejabat JF di sini semalam bahawa pihaknya komited untuk menyokong syarikat-syarikat Malaysia seperti JF untuk mempromosikan herba ubat tempatan dalam industri nutraseutikal global.

“Teknologi nutraseutikal SPC yang canggih boleh membantu bahan farmaseutikal aktif (API) dalam herba Malaysia menjadi amat mujarab dan meningkatkan keberkesanan mengubat secara ketara,” katanya.

SPC juga menghasilkan makanan tambahan semula jadi pertama iaitu ArtemiC, dibuktikan secara klinikal untuk mencegah gejala COVID-19 daripada menjadi lebih teruk dan telah diluluskan untuk jualan di Kesatuan Eropah.

Pengerusi JF, Datuk Dr Othman Omar berkata menerusi MoU itu dan langkah memanfaatkan teknologi SPC, herba dan rempah ratus Malaysia seperti halia hitam yang ditanam oleh pihaknya di Langkawi, kunyit hitam, tongkat ali dan misai kucing boleh dijadikan sangat mujarab, sekali gus berpotensi menembusi pasaran farmaseutikal global yang amat kompetitif.

“Ini sudah pasti akan membantu petani tempatan Malaysia menikmati permintaan yang lebih tinggi untuk hasil tanaman mereka dan menggalakkan lebih ramai petani untuk meneroka pertanian herba dan rempah ubatan premium organik yang berhasil tinggi,” katanya. – Bernama