KUALA LUMPUR, 13 JAN – Malaysia memulakan tahun 2025 dengan langkah diplomasi antarabangsa yang kukuh, mempamerkan peranan pentingnya sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Minggu lalu merupakan tempoh yang sangat produktif dan penuh bermakna bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain menguruskan agenda nasional, Anwar menerima kunjungan berturut-turut pemimpin dari Singapura, Indonesia dan Jepun.
Semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, kedua-dua pemimpin membincangkan kepentingan bersama, memperkukuh kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara dan mengesahkan komitmen mereka untuk menangani isu dua hala utama.
Satu pencapaian penting dalam pertemuan itu ialah pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang disifatkan sebagai inisiatif transformasi yang membuka era baharu kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Pada Khamis, Anwar menyambut kedatangan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang tiba di Kuala Lumpur pada pagi itu. Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan tertutup semasa majlis makan tengah hari di Rumah Tangsi.
Walaupun lawatan kerja Prabowo singkat, keakraban antara mereka terserlah.
Anwar kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau dan Prabowo mengadakan perbincangan dari hati ke hati mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama. Indonesia juga menyatakan komitmen untuk membantu dan bekerjasama dengan Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Wong dan Prabowo pada asalnya dijadualkan melawat Malaysia bulan lepas, namun rancangan mereka ditangguhkan akibat keadaan tidak dijangka.
Bagaimanapun, lawatan mereka minggu lepas berlangsung pada masa yang sesuai. – Bernama