Malaysia terajui APICTA

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Malaysia kini menerajui Perikatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) susulan pelantikan Kaunselor Persatuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Malaysia (PIKOM), Stan Singh, sebagai Pengerusi baharu.

Dalam kenyataan hari ini, PIKOM berkata pelantikan Stan, yang diumumkan semasa Mesyuarat Exco APICTA ke-57 di Myanmar baru-baru ini, menandakan pertama kali Malaysia mengetuai perikatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global berusia 18 tahun itu dengan 16 anggota.

Beliau menggantikan Dr Dileepa De Silva dari Sri Lanka yang memegang jawatan itu sejak 2014.

Ketua Hakim Anugerah, Persatuan Industri Maklumat Australia, Fulvio Inserra dilantik sebagai Timbalan Pengerusi yang baharu. Sebanyak 16 anggota APICTA antaranya ialah Australia, Bangladesh, Brunei, China, Indonesia, Jepun, Macau, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, PIKOM berkata anugerah APICTA Antarabangsa tahunan yang mengiktiraf bakat terunggul dalam pembangunan teknologi akan berlangsung di Guangzhou, China pada 9 hingga 13 Okt, 2018. – Bernama