LAHAD DATU, 24 Okt – Malaysia sedang berusaha meneroka pasaran eksport baharu komoditi negara termasuk getah dan minyak sawit, menurut Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Katanya, usaha itu adalah langkah bagi memastikan pendapatan untuk semua komoditi meningkat, sekali gus dapat terus menyumbang kepada negara dan rakyat yang mana untuk minyak sawit, ia adalah seperti Afrika Utara, selain mengekalkan negara tradisi.
“Kita juga mencari pasaran untuk produk baharu Lembaga Getah Malaysia iaitu gelas seismik (bahan binaan bangunan) yang menyerap hentakan seperti tsunami, yang mana bangunan yang menggunakan gelas ini boleh menyerap hentakan itu (tsunami),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Sayangi Komoditi: Bual Bicara Latihan dan Kerjaya di SMK Silabukan, hari ini. – Bernama