Malaysia terus menjadi destinasi kesukaan orang Brunei

Oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Malaysia terus menjadi destinasi pelancongan kesukaan rakyat Brunei yang menganggap negara jiran itu sebagai rumah kedua.

Dari Januari hingga Ogos 2016, Malaysia merekodkan 15.5 peratus peningkatan ketibaan rakyat Brunei berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh lapan bulan itu, 858,040 orang Brunei berkunjung ke Malaysia berbanding 743,098 pada 2015. Pada Ogos sahaja, seramai 110,531 orang Brunei pergi ke Malaysia, peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding jumlah yang direkodkan pada Ogos 2015.

Pengarah Tourism Malaysia di Brunei Darussalam, Dayang Zurina binti Abdul Samad yang mendedahkan perangkaan berkenaan berkata, “Malaysia adalah seperti rumah kedua bagi rakyat Brunei. Saya telah memerhatikan bagi tiga tahun kebelakangan bahawa ia merupakan destinasi teratas yang dipilih oleh orang Brunei terutamanya ketika pameran pelancongan dan pengguna di sini.

“Berdasarkan Tinjauan Pelepasan Pengunjung yang dilaksanakan oleh Tourism Malaysia, pada 2015, 91 peratus rakyat Brunei berkunjung ke Malaysia untuk membeli-belah,” tambahnya.

Kelihatan deretan kenderaan Brunei melintasi Pos Kawalan Sungai Tujoh untuk menuju ke Sarawak.
Kelihatan deretan kenderaan Brunei melintasi Pos Kawalan Sungai Tujoh untuk menuju ke Sarawak.

Menurut beliau, data yang direkodkan oleh Sabah Tourism telah menunjukkan bahawa terdapat pertumbuhan 9 peratus dalam ketibaan pengunjung Brunei dari Januari hingga Oktober 2016 iaitu seramai 70,354 orang berbanding 64,540 dalam tempoh yang sama pada 2015.

Bagaimanapun, data daripada Lembaga Pelancongan Sarawak menunjukkan penurunan sebanyak 28 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun 2016 (624,978 ketibaan) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pada 2015, seramai 1,585,997 orang pengunjung dari Brunei merentasi sempadan ke Sarawak.

Memetik sebab-sebab rakyat Brunei suka berkunjung ke Malaysia, terutamanya Sabah dan Sarawak, Dayang Zurina berkata, “Kekuatan dolar Brunei berbanding ringgit Malaysia menguntungkan rakyat Brunei untuk berbelanja di Miri, Limbang dan Kota Kinabalu bagi pelbagai barangan dan memberi lebih banyak nilai bagi wang mereka.”

Oleh sebab membeli-belah merupakan komponen utama untuk mempromosikan Malaysia kepada rakyat Brunei di samping melawat di bandar-bandar, pulau dan pantai, beliau mengetengahkan tiga kempen membeli-belah kebangsaan pada 2017 ini di mana rakyat Brunei boleh mendapatkan tawaran menguntungkan.

Kempen-kempen berkenaan adalah, 1Malaysia Super Sale (Mac), 1Malaysia Mega Sale Carnival (Jun hingga Ogos) dan 1Malaysia Year End Sale (November hingga Disember).

Ketiga-tiga kempen berkenaan, katanya, akan menarik pengunjung untuk membeli-belah, makan dan bersantai semasa musim membeli-belah terbaik tahun ini. Dengan slogan baru, ‘Super Bargains, Fantastic Experiences’, Jualan Kebangsaan Malaysia menjanjikan banyak tawaran menguntungkan dan hebat.

Dalam menarik lebih ramai pelancong asing, terutamanya dari China, Miri telah mengumumkan kempen khas, ujar Dayang Zurina, sambil menambah bahawa Sarawak kini akan membenarkan kemasukan pelancong China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Miri serta kemudahan Imigrasi, Kastam, Kuarantin dan Sekuriti (ICQS) di sempadan Sungai Tujoh ke Brunei, menggunakan Pas Kemasukan Khas.

Beliau menjelaskan bahawa pas-pas berkenaan memberi manfaat bagi Sarawak dan Brunei kerana ia bersesuaian dengan kempen Brunei pada masa ini untuk menarik lebih ramai pelancong dari China dan pelancong kini boleh bergerak dengan mudah di antara Miri dan Brunei.

Beliau turut memberitahu bahawa tiga negeri di Malaysia iaitu Pahang, Perak dan Terengganu, secara rasminya telah melancarkan kempen-kempen Tourism Visit bagi 2017.

Di samping itu, kerajaan Malaysia merancang untuk mewartakan 2017 sebagai Tahun Melawat Klang dalam usaha untuk menjadikan pekan diraja berkenaan sebagai destinasi paling popular di Selangor.

Tourism Malaysia di Brunei akan mempromosikan kempen-kempen ini dan acara-acara serta tarikan yang telah dirancang sepanjang tahun.