Malaysia tetap sertai persaingan teknologi 5G

SHAH ALAM, 17 JAN – Telenor Research, cabang penyelidikan Telenor Group yang berpangkalan di Norway berkata tidak ada sebab untuk Malaysia tidak bersaing dalam persaingan teknologi generasi kelima (5G) kerana penggunaannya memberi peluang kepada negara untuk meningkatkan perindustriannya.

Ketua Penyelidik Telenor, Bjorn Taale Sandberg berkata kerana 5G akan menyediakan sambungan yang lebih cepat, selamat dan cekap, ia boleh menawarkan peluang kepada negara untuk menjadi penyedia penyelesaian dalam pelbagai bidang atau industri.

“5G…ia adalah peluang bagi negara untuk mengambil bahagian dalam mencipta penyelesaian dalam pelbagai bidang.

“Sekiranya anda cepat, anda boleh mengambil kedudukan anda, dan peluang anda melakukannya adalah lebih baik daripada jika anda terlambat,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Kumpulan Telenor memiliki 49 peratus kepentingan dalam Digi.com Bhd.

Sebagai contoh, Amerika Syarikat, China dan Korea Selatan, Sandberg berkata tiga negara itu telah menerima 5G lebih pantas daripada negara-negara lain di dunia. – Bernama