KUALA LUMPUR, 29 APRIL – Skuad badminton Malaysia mengekalkan momentum kemenangan apabila menewaskan Australia 4-1 dalam aksi peringkat Kumpulan C, Piala Sudirman 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan ke suku akhir.
Pada perlawanan berlangsung di Gimnasium Xiamen Fenghuang, China hari ini, Malaysia mengutip mata pertama menerusi beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan Ricky Tang-Gronya 21-8, 21-12.
Perseorangan lelaki, Justin Hoh yang teruja menguji keupayaannya dalam kejohanan berintensiti tinggi berjaya menggandakan mata selepas menundukkan Shrey Dhand 21-9, 21-15.
K Letshanaa meletakkan Malaysia di kedudukan selesa apabila menambah mata ketiga menewaskan perseorangan wanita Australia Bernice Teoh Kai Qi 21-6, 21-8 diikuti kemenangan mudah Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan Jack Yu-Frederick Zhao 21-8, 21-9.
Satu mata berjaya diperoleh Australia menerusi beregu wanita Gronya Somerville-Angela Yu yang menewaskan beregu Go Pei Kee-Carmen Ting 21-15, 21-18. – Bernama
