Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Malaysia tidak dijangka alami kemelesetan

    KUALA LUMPUR, 14 SEPT – Malaysia tidak mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi memandangkan struktur kepelbagaian ekonominya yang kurang bergantung kepada komoditi, selain mengamalkan dasar pragmatik dan responsif, kata Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

    Beliau berkata sektor pertanian dan perlombongan kini hanya menyumbang 14 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 57 peratus dan sektor pembuatan pula sebanyak 24.3 peratus.

    “Kepelbagaian rakan dagangan kami – kami tidak terlalu bergantung kepada satu negara tertentu sahaja – menambah daya tahan ekonomi kami,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Invest Malaysia 2022 Siri 1: Membina Daya Tahan Dalam Situasi Kemeruapan di sini, hari ini.

    Beliau berkata bank dan syarikat perkhidmatan kewangan Malaysia mempunyai wajaran yang ketara dalam indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI dan indeks kemampanan FTSE4Good Bursa Malaysia.

    “Tujuh saham perbankan ini sahaja iaitu Maybank, Public Bank, CIMB Bank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan Alliance Bank mempunyai gabungan permodalan pasaran berjumlah RM325.36 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah permodalan pasaran RM1.65 trilion setakat akhir Jun 2022,” katanya.

    Abdul Wahid berkata sistem kewangan ini dilengkapi dengan pasaran hutang dan modal ekuiti yang berfungsi dengan baik, yang bernilai RM3.5 trilion pada 30 Jun, 2022 dengan pasaran modal hutang menyumbang RM1.8 trilion dan pasaran modal ekuiti membentuk RM1.7 trilion. – Bernama

    Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berucap pada Karnival Saham Pahang bersama Bursa Malaysia di Kompleks Yayasan Pahang baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...