Malaysia tidak terburu-buru beli vaksin COVID-19

PUTRAJAYA, 3 SEPT – Malaysia tidak mahu terburu-buru dalam pembelian vaksin COVID-19 kerana ia mahu memastikan terlebih dahulu bahawa vaksin berkenaan benar-benar berkesan dan selamat digunakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata buat masa ini kerajaan masih menunggu negara pengeluar vaksin menjalankan ujian klinikal yang melibatkan tiga fasa, dengan fasa terakhir adalah ujian ke atas manusia.

“Kita tunggu negara yang buat ujian klinikal seperti China yang membuat ujian di Emiriah Arab Bersatu dan Brazil. Rusia pula belum pun sampai tahap ujian klinikal ketiga,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan pembelian vaksin COVID-19 oleh kerajaan susulan laporan sesetengah negara telah memulakan proses diplomasi bagi pembelian vaksin berkenaan.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 di sini hari ini, berkata kerajaan belum mula membeli vaksin dan masih menggunakan diplomasi sains serta akses kepada negara yang boleh mengeluarkan vaksin berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berhubung dengan pihak pengeluar vaksin dan negara-negara yang sedang membangunkam vaksin berkenaan,” katanya.

Mengenai saringan COVID-19 di pasar-pasar awam, Dr Adham berkata KKM telah membuat saringan terhadap peniaga di 464 pasar di seluruh negara yang melibatkan 36,919 sampel (swab) dengan 287 (0.8 peratus) daripadanya didapati positif COVID-19.

“Saya hendak maklumkan pemeriksaan di pasar awam dilaksanakan berterusan kerana ini tempat sesak dan sempit. Kita tidak mahu ada kes COVID-19 di pasar,” kata Dr Adham. – Bernama

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) semasa sidang media sempena majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Se-dunia di Putrajaya, kelmarin. – Bernama