Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malbatt lancar bazar di Marakah

    BEIRUT, 22 Sept – Batalion Malaysia (Malbatt) dalam usaha membantu membangunkan semula Lubnan telah melancarkan Bazar Malaysia di Daerah Marakah bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat menjalankan aktiviti perniagaan dan berinteraksi sesama mereka.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohad Johari Baharum berkata Bazar Malaysia adalah antara program Malbatt 850-4 iaitu program kemasyarakatan Lubnan.

    Beliau berkata tapak bazar yang berkeluasan 1,700 meter persegi dan menempatkan pelbagai aktiviti perniagaan tersebut dahulunya merupakan kawasan terbiar dan tidak diurus oleh mana-mana pihak sebelum diambil alih oleh Malbatt untuk dibangunkan.

    “Maka Malbatt telah berjumpa dengan datuk bandar Marakah dan berbincang mengenainya supaya kawasan itu dinaiktarafkan sebagai bazar perniagaan dan tidak terbiar begitu sahaja.

    “Alhamdulillah projek berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di Marakah dan ini menunjukkan pasukan Malbatt 850-4 telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab kerana dapat menyelami hati naluri rakyat Lubnan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan bazar berkenaan pada Khamis.

    Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum menggunakan sebahagian peralatan senaman gimnasium bersama anggota Malbatt selepas merasmikan ‘Fitness Centre Malbatt 850’ di Kem Marakah, kelmarin. – Bernama

    Johari berkata masyarakat setempat amat berterima kasih kepada usaha yang dilaksanakan oleh Malbatt dalam membantu mereka memulihkan situasi di Lubnan dari segi infrastruktur dan ekonomi.

    Sementara itu Datuk Bandar Marakah, Adeel Saad melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada Malbatt 850-4 kerana menjayakan program itu.

    “Saya sangat menghargai setiap usaha yang Malbatt lakukan di Lubnan bagi meningkat infrastruktur ekonomi dan memulihkan keadaan di sini,” katanya dan berharap lebih banyak projek seumpama itu dilakukan Malbatt di masa depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda