Maldives sekat media asing

COLOMBO, 13 Sept – Pembangkang Maldives telah menuduh Presiden Abdulla Yameen menutup percubaannya untuk ‘mencuri’ pilihan raya pada bulan ini dengan melarang media asing daripada membuat liputan.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara lain telah menyatakan kebimbangan berhubung situasi politik di gugusan kepulauan Lautan India itu. Pencabar utama Yameen sama ada dipenjarakan atau dalam buangan.

Gabungan pembangkang yang berharap dapat menewaskannya pada 23 September berkata lewat semalam bahawa kerajaan telah memperketatkan syarat-syarat visa untuk wartawan asing yang ingin membuat liputan mengenai pengundian itu.

“Langkah-langkah visa merupakan percubaan sengaja untuk melarang wartawan asing daripada berkunjung ke Maldives untuk membuat liputan pilihan raya, dengan itu mengurangkan pengawasan pengundian dan kemungkinan Presiden Yameen untuk mencurinya,” kata pembangkang.

“Dalam hal ini, langkah-langkah penapisan ketat harus dianggap sebagai usaha untuk menutup penipuan pilihan raya terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Gambar fail yang diambil pada 8 September 2018 menunjukkan ketua pembangkang dan calon presiden Maldives bertemu penyokong menjelang pilihan raya presiden yang akan diadakan pada 23 September ini. – AFP

Syarat-syarat untuk wartawan mendapatkan visa termasuk menamakan seorang penaja tempatan yang akan bertanggungjawab terhadap sebarang laporan yang dianggap tidak boleh diterima.

Pihak berkuasa Maldives telahpun menolak permohonan oleh media antarabangsa untuk membuat liputan mengenai pilihan raya.

Calon pembangkang utama, Ibrahim Mohamed Solih, memberitahu wartawan di Colomboa pada akhir bulan lalu bahawa beliau tidak menjangka pilihan raya bebas dan adil akan diadakan, tetapi berasa yakin pengundi akan datang menentang kerajaan.

Solih disokong oleh bekas presiden Mohamed Nasheed, yang berada dalam buangan selepas disabit bersalah melakukan ‘keganasan’ dan hukuman penjara 13 tahun pada 2015.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyifatkan perbicaraan Nasheed, yang menyingkirnya daripada bertanding dalam pilihan raya, sebagai bermotifkan politik. – AFP