Oleh Fadhil Yunus
SINGAPURA, 8 SEPT – Pasukan bola jaring Negara Brunei Darussalam melakar kemenangan 50-40 menentang Maldives pada pusingan kedua Kumpulan F dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura di Singapura hari ini.
Ia menandakan kemenangan kedua mereka dalam kempen berikutan kemenangan 38-34 menentang Chinese Taipei pada pusingan awal.
Brunei berjaya menjaringkan mata terakhir di suku pertama permainan dan mengikat Maldives 10-9 dengan perbezaan satu mata.
Pada permulaan suku kedua, momentum permainan memihak kepada Brunei apabila hantaran tengah dilakukan memberi mereka peluang untuk melebarkan pendahuluan dengan tiga mata 18-15.
Hantaran jauh dilakukan pemain Brunei yang menemui sasaran membolehkan mereka menikmati satu lagi peluang untuk mendahului empat mata dengan kedudukan 20-16.

Suku kedua menyaksikan Brunei menghasilkan gerakan berpasukan yang bagus tetapi rentak permainan mereka dibaca apabila Maldives menamatkan perlawanan dengan kuat.
Brunei kelihatan lebih hebat dan menunjukkan kelebihan pada suku ketiga apabila mereka melebarkan pendahuluan lima mata.
Namun begitu, pendahuluan mereka dikurangkan kepada hanya satu mata apabila Maldives mendapat manfaat daripada hantaran tepat pemain mereka menjadikan kedudukan terikat pada suku akhir perlawanan.
Brunei sekali lagi mengulangi prestasi mereka pada tempoh awal suku ketiga dengan kelebihan lima mata sebelum Maldives berjaya menambah jumlah jaringan mereka.
Namun, Royal Bees berjaya menguasai semula permainan dan melebarkan kelebihan mereka kepada tujuh mata de-ngan perlawanan hanya berbaki tiga minit sebelum menjadikan kedudukan sembilan mata di hadapan dengan berbaki kurang dua minit.
Brunei melakar kemenangan penting apabila mereka mencapai markah 50 mata dengan margin kemenangan 10 mata. Royal Bees akan berpeluang menebus kekalahan menentang Filipina dalam perlawanan yang akan diadakan pada 10 September ini.