Mali rai kejayaan bedah jantung terbuka pertama

BAMAKO, 11 Sept – Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menjadi pesakit pembedahan jantung terbuka pertama Mali semalam, susulan kejayaan sekumpulan pakar bedah Mali dan Perancis, juga yang julung kali bagi negara Afrika itu.

Fanta Diarra, yang didiagnosis dengan masalah jantung ketika masih anak damit, menjalani pembedahan dalam apa yang diharapkan pakar menjadi prosedur pertama daripada banyak pembedahan menyelamatkan nyawa bagi rakyat negara itu, yang sebelum ini perlu ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.

“Saya gembira bahawa saya akan dibedah. Saya akan menjadi seperti kanak-kanak lain. Saya akan boleh bekerja dan berkahwin,” kata kanak-kanak itu kepada AFP sebelum pembedahannya.

Dia ialah seorang daripada 2,500 kanak-kanak yang menantikan pembedahan, di mana kira-kira 50 daripadanya akan menjalani prosedur itu pada akhir tahun ini di unit kardio-pediatrik baharu di hospital di Bamako, yang dibuka oleh persatuan perubatan Perancis, La Chaine de l’Espoir.

Reaksi Fanta semasa bermain dengan jururawat sambil diperhatikan oleh ibunya, sebelum dia menjalani pembedahan jantung terbuka pertama di Mali pada 10 September lalu. – AFP

“Ini adalah hari penting bagi kami. Ini adalah pembedahan jantung terbuka pertama, tetapi menyusul prosedur ini ada ratusan lagi kanak-kanak yang menunggu, kami tahu ini bukan pengakhiran,” kata pakar bedah jantung dan pengasas pertubuhan itu, Profesor Alain Deloche.

Matlamatnya adalah bagi pasukan pakar bedah Perancis melakukan pembedahan dan pada masa sama melatih pakar bedah Mali.

“Saya boleh saksikan di mata pakar bedah Mali yang muda ini, seperti satu keberanian,” tambahnya. – AFP