NAM DINH, VIETNAM, 12 MEI – Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23) Brad Maloney gembira dengan tiga mata yang diperoleh hasil kemenangan Malaysia ke atas Laos malam kelmarin yang mencerahkan peluang pasukan itu untuk mara ke separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Ke-31.
Kemenangan 3-1 ke atas Laos di Stadium Thien Truong di sini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Malaysia yang menyaksikan Skuad Brad Maloney kini mendahului Kumpulan B dan mengutip enam mata. Pada aksi malam kelmarin, penyerang muda KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-36 dan ke-67 sementara satu gol lagi dijaringkan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-43.
Laos mendapat gol sagu hati pada minit ke-85 menerusi pemain gantian Visith Bounpaserth.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Laos, Hans Michael Weiss merasakan pasukan tidak bernasib baik kerana mengharungi tiga perlawanan dalam lima hari sementara Malaysia mempunyai masa yang cukup untuk persiapan menghadapi perlawanan. Malaysia terus mencari peluang memastikan satu tempat ke separuh akhir apabila bertemu Singapura Sabtu ini dan mengakhiri perlawanan kumpulan bertemu Kemboja pada 16 Mei nanti. – Bernama