Mamat buru lebih banyak kejayaan musim 2021

KUALA LUMPUR, 27 NOV – Selepas melakar kejutan menerusi dua kemenangan podium pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, pakar pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh mengintai peluang memburu lebih banyak kejayaan dalam beberapa kejohanan berbasikal tahun depan.

Pelumba veteran berusia 32 tahun itu berkata walaupun perlumbaan berbasikal terulung Asia tersebut dibatalkan pada tahun hadapan akibat pandemik COVID-19, ia tidak menjejaskan semangatnya untuk terus mencipta kejayaan bersama pasukan benua berkenaan.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi saya pada musim ini kerana LTdL merupakan antara kejohanan terbesar di Asia sepanjang bergelar pelumba berbasikal profesional,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

“Kali terakhir saya menyertai pertandingan adalah Kejohanan Kebangsaan di Melaka pada September lalu, dan tiada kejohanan disertai selepas itu disebabkan COVID-19.

“Namun saya akui memang rindu nak kembali berlumba dan berjumpa dengan rakan sepasukan yang lain,” kata Mohd Harrif yang mesra disapa ‘Mamat’ dalam kalangan rakan sepasukannya.

Mohd Harrif memenangi peringkat kelima LTdL 2020 sejauh 165.8km dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Ipoh, Perak, selain turut mengungguli peringkat ketujuh sejauh 130.4km dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah. – Bernama