GENEVA, 24 MAC – Penularan wabak COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) berpotensi mengatasi Eropah berikutan kes di AS dilaporkan semakin melonjak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pandemik itu bermula di China pada Disember lalu tetapi pusat wabak beralih dari Asia ke Eropah.
Jurucakap WHO, Margaret Harris pada sidang media berkata 85 peratus kes baharu yang dilaporkan kepada badan global itu semalam berlaku di Eropah dan AS, yang menjadi pemacu kepada wabak berkenaan.
Eropah melaporkan 20,131 kes baharu dalam tempoh 24 jam sebelumnya, sementara AS melaporkan 16,354 kes.
Ditanya sama ada AS boleh mengatasi Eropah sebagai pusat wabak COVID-19, Harris berkata: “Kami kini melihat lonjakan yang sangat besar jumlah kes dari AS sehingga ia mempunyai potensi itu.

“Kita tidak boleh mengatakan bahawa ia berlaku tetapi ia mempunyai potensi itu.
“Mereka mempunyai wabak yang sangat besar dan wabak semakin meningkat.”
Dalam kemas kini harian WHO semalam menunjukkan negara Eropah dengan 171,424 jumlah jangkitan dan 8,743 kematian (meningkat sebanyak 1,318), manakala AS melaporkan sejumlah 31,573 jangkitan dan 402 kematian.
Harris berkata disebabkan tempoh inkubasi, kenaikan angka kes mencerminkan peningkatan dalam transmisi yang berlaku sehingga lima hari sebelumnya.
“Setiap individu menjangkiti dua hingga tiga orang lain dengan mengambil masa tiga hingga lima hari, jadi kita melihat apa yang berlaku tiga atau empat hari lalu, atau lima hari yang lalu di banyak negara,” jelasnya. – AFP