Mampukah bau-bauan tarik perhatian ikan atau sebaliknya?

Oleh Raz AS

Jika kita melihat-lihat rak-rak yang ada di dalam kedai pancing tentu saja kita pernah terlihat umpan-umpan tiruan, botol-botol spray dan pelbagai lagi jenis botol dan tiub yang mengandungi formula bau-bauan yang dikatakan dapat menarik perhatian ikan.

Sehingga ke hari ini, perdebatan masih lagi hangat di kalangan pemancing-pemancing di seluruh dunia mengenai keberkesanannya.

Adakah formula-formula ini betul-betul berkesan atau sekadar ‘minyak ular’ yang dijual oleh pengedar-pengedar peralatan pancing untuk mendapatkan keuntungan semata-mata?

Bagi yang skeptikal tentu saja hujahan mereka menyatakan bahawa mereka masih saja berjaya memperoleh ikan meski tidak menggunakan formula tersebut. Manakala bagi yang mempercayainya, mereka mendakwa bahawa produk-produk tersebut mampu meningkatkan lagi peluang mereka untuk mendapatkan ikan.

Sejauh mana keberkesanannya, terus terang penulis sendiri tidak tahu walaupun memiliki beberapa botol produk yang dikatakan formula bau-bauan, seperti bau udang dan bau ikan kembura, yang diiklankan dapat meningkatkan hasil tangkapan, tetapi jarang sekali penulis menggunakannya. Biasalah pemancing, rajin mengumpul peralatan tetapi tidak semuanya dipakai dan akhirnya sekadar menjadi perhiasan di dalam toolbox.

Sehingga ke hari ini, perdebatan masih lagi hangat di kalangan pemancing-pemancing di seluruh dunia mengenai keberkesanan formula bau-bauan yang dikatakan dapat menarik perhatian ikan. – Agensi
Mungkin tidak semua perasan yang ikan mempunyai lubang hidung yang selalunya terletak pada bahagian depan berhampiran matanya. – Agensi

Ketika menggunakannya pun hasilnya sama juga, kadang-kadang dapat ikan, kadang-kadang kumpaw. Sama seperti ketika tidak menggunakan apa-apa produk tambahan.

Walau bagaimanapun, disebabkan faktor kejarangan menggunakannya, tiada bukti kukuh yang dapat penulis berikan kerana tiada data yang dapat dijadikan perbandingan.

Meskipun begitu, mengikut kajian saintifik ikan sememangnya mempunyai deria bau, kalau tidak bagaimana pula ikan dapat mengesan umpan dalam keadaan air keruh? Contohnya ikan-ikan daripada keluarga catfish seperti sembilang, keli, utik, bedukang dan seumpamanya dikenali mempunyai deria bau yang lebih kuat berbanding kebanyakan spesies ikan lain.

Mungkin tidak semua perasan yang ikan mempunyai lubang hidung yang selalunya terletak pada bahagian depan berhampiran matanya.

Berbeza daripada manusia yang bernafas dan menghidu menggunakan hidung, ikan hanya menggunakan lubang hidung tersebut untuk deria baunya.

Setiap lubang hidung ini mempunyai dua rongga di mana air akan mengalir masuk melalui rongga depan, melimpasi sel-sel sensor dan keluar dari rongga belakang.

Berbeza daripada bau di udara, bau yang dihidu oleh ikan tidak sama dengan bau yang manusia hidu. Apa yang manusia hidu adalah bahan-bahan kimia yang meruap ke udara. Bau-bauan tersebut tidak dapat dihidu oleh ikan.

Ikan menghidu air dengan mengesan kandungan kimia yang terdapat di dalam air, yang dapat membantu mereka untuk menghindari pemangsa, mengesan pasangan, makanan dan juga sebagai kompas migrasinya.

Contohnya ikan salmon terkenal dapat ‘menghidu’ laluan mereka kembali ke sungai di mana mereka dilahirkan berdasarkan komposisi kimia air di dalam sungai tersebut.

Manakala itu, ikan-ikan yang tercedera diserang pemangsa menghasilkan bau ‘amaran’ ataupun feromon yang dapat dikesan oleh spesies ikan yang sama, isyarat agar ikan-ikan melarikan diri.

Bau lambat merebak di dalam air, oleh itu ia memerlukan masa yang lebih lama untuk ikan mengesannya, namun begitu kebolehan deria bau ikan tidak sama mengikut spesies. Ada yang mempunyai deria yang kuat, ada yang lemah.

Ikan-ikan yang tinggal di air keruh selalunya mempunyai deria bau yang lebih kuat berbanding ikan yang tinggal di air jernih, oleh itu ikan-ikan di air keruh selalunya lebih bergantung pada deria baunya dan ikan yang tinggal di air jernih lebih bergantung pada deria mata.

Tetapi tidak semua ikan di air jernih mempunyai deria bau yang lemah, contohnya ikan jerung, bergantung pada spesies, yang tinggal di lautan luas yang sentiasa jernih dapat mengesan bau daripada satu bahagian per 25 juta hingga 10 bilion yang bersamaan dengan setitis darah di dalam sebuah kolam renang kecil. Kekuatan deria bau ini adalah setanding dengan spesies catfish.

Kecepatan bau merebak di dalam air bergantung pada pergerakan air, bau akan lebih cepat merebak di kawasan yang berarus seperti sungai dan laut berbanding di kawasan air mati seperti tasik dan kolam.

Ikan yang berada di hilir sungai, berenang melawan arus, akan menghidu bau yang dibawa arus dari hulu memberikannya maklumat mengenai apa yang ada di hadapannya.

Kini berbalik pada persoalan mengenai formula-formula bauan tadi, sejauh mana keberkesanannya untuk memikat ikan.

Seperti yang diterangkan tadi ikan dapat menghidu bau tetapi adakah ia punca kenapa ikan menyambar umpan? Tidak semestinya.

Kenapa tidak meskipun setelah bercakap panjang lebar mengenai bagaimana ikan menghidu dan sebagainya. Buktinya adalah sedangkan umpan alami sama ada yang hidup atau mati lagi kadang-kadang langsung tidak dipandang sedangkan ia mempunyai bau yang semula jadi, tidak perlu lagi ditokok tambah.

Kalau ikan sudah berada dalam mood tidak mahu makan tidak kiralah umpan apa pun yang disajikan, peluangnya untuk disambar pasti masih rendah.

Walau bagaimanapun berkemungkinan formula-formula ini dapat membantu sedikit agar ikan tidak begitu teragak-agak untuk menerkam umpan sekiranya terdapat bau-bau asing sama ada daripada bahan buatan umpan itu sendiri (bagi umpan tiruan) atau yang terpalit pada umpan tersebut secara tidak sengaja semasa mengendalikannya, seperti bau minyak perahu, bau losyen dan sebagainya pada tangan pemancing, yang dapat dikesan oleh ikan.

Pasti pernah terjadi pada anda sendiri sang ikan hanya mengikut sahaja dari belakang mengejar umpan tiruan yang anda baling, seakan-akan berminat tetapi tidak juga disambar-sambarnya.

Jadi mungkin fungsi utama formula ini bukanlah seperti yang kita sangkakan.

Ia bukan produk ajaib yang dapat memberi gerenti ikan akan memakan umpan, tetapi sekadar membantu menaikkan sedikit peluang anda dengan menyembunyikan bau asing yang tidak natural kepada ikan yang boleh menyebabkan ikan teragak-agak atau tidak mahu memakannya.