Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Mampukah robot jaga warga emas?

    Gambar AFP

    GARMISCH-PARTENKIRCHEN, JERMAN – Manusia robot berwarna putih ‘Garmi’ tidak kelihatan berbeza dengan robot tipikal, ia berdiri di atas platform dengan roda dan dilengkapi dengan skrin hitam di mana terdapat dua lingkaran biru yang bertindak sebagai mata.

    Namun, doktor bersara dari Jerman, Guenter Steinebach, 78, berkata “Bagi saya, robot ini adalah satu impian.”

    Bukan sahaja Garmi dapat melakukan diagnosis pada pesakit ia juga boleh memberikan penjagaan dan rawatan kepada mereka. Atau sekurang-kurangnya, itulah rancangan yang ada.

    Garmi adalah produk daripada bidang baharu yang dipanggil geriatronik, disiplin yang menggunakan teknologi canggih seperti robotik, IT dan teknologi 3D untuk kegunaan dalam bidang geriatrik, gerontologi dan kejururawatan.

    Kira-kira 12 saintis membangunkan Garmi dengan bantuan pengamal perubatan seperti Steinebach di Institut Robotik dan Kecerdasan Mesin Munich.

    Doktor Guenter Steinebach bekerja untuk diagnosis jarak jauh di makmal Pusat Penyelidikan Geriatrik Universiti Teknikal Munich, Garmisch-Partenkirchen, selatan Jerman.
    Seorang pekerja duduk di depan robot Garmi.
    Seorang pekerja mengusahakan robot Garmi di makmal Pusat Penyelidikan Geriatrik Universiti Teknikal Jerman.
    Pekerja memegang tangan palsu robot Garmi.
    Para pekerja memodifikasi robot Garmi di makmal Pusat Penyelidikan Geriatronik Universiti Teknikal Jerman. – AFP
    Seorang pekerja mendiagnosis dengan alat kawalan jauh di makmal Pusat Penyelidikan Geriatronik Universiti Teknikal Munich, di Garmisch-Partenkirchen, selatan Jerman. – AFP
    Robot Garmi dilihat berada di makmal Pusat Penyelidikan Geriatronics Universiti Teknikal Munich, di Garmisch-Partenkirchen, selatan Jerman. – AFP
    Eva Pioskowik (kanan) mengecat kuku Puan Rohrer (kiri), di rumah orang tua di Garmisch-Partenkirchen, selatan Jerman. – AFP

    Sebahagian dari Universiti Teknikal Munich, institut ini menubuhkan unit yang pakar dalam geriatronik di Garmisch-Partenkirchen, sebuah resort ski yang menjadi tempat tinggal kepada salah satu jumlah populasi warga emas tertinggi di Jerman. Negara yang paling ramai penduduknya di Eropah itu juga merupakan antara masyarakat yang paling cepat menua di dunia.

    Dengan bilangan orang yang memerlukan penjagaan semakin bertambah dengan pesat dan anggaran 670,000 jawatan penjagaan tidak dapat diisi di Jerman menjelang tahun 2050, para penyelidik sedang berlumba-lumba untuk mencipta robot yang boleh mengambil alih sebahagian daripada tugas yang dilakukan hari ini oleh jururawat, penjaga dan doktor.

    “Kita mempunyai mesin ATM di mana kita boleh mendapatkan wang tunai hari ini. Kita dapat membayangkan bahawa pada suatu hari, berdasarkan model yang sama, orang dapat datang untuk menjalani pemeriksaan perubatan mereka di pusat teknologi seumpama itu,” kata Abdeldjallil Naceri, 43, ketua saintis makmal tersebut.

    Doktor kemudian boleh menilai hasil diagnosis robot dari jarak jauh, sesuatu yang mungkin sangat berharga untuk orang yang tinggal dalam kalangan komuniti yang terpencil.

    Sebagai alternatif, mesin tersebut boleh menawarkan perkhidmatan yang lebih bersifat peribadi di rumah atau di sebuah pusat penjagaan – dengan menghidangkan makanan, membuka botol air, memanggil bantuan sekiranya berlaku kecederaan atau menganjurkan panggilan video dengan keluarga dan rakan-rakan.

    Di makmal Garmisch, Steinebach duduk di meja yang dilengkapi dengan tiga skrin dan kayu ria ketika dia bersedia untuk menguji kemajuan robot.

    Di hujung bilik, seorang penyelidik yang ditugaskan sebagai model ujian mengambil tempat duduk di hadapan Garmi, yang meletakkan stetoskop di dadanya – tindakan yang diarahkan oleh Steinebach dari jauh melalui kayu ria.

    Data perubatan muncul dengan serta-merta di skrin doktor.

    “Bayangkan jika saya memilikinya di dalam klinik lama saya,” kata Steinebach sambil menggerakkan kayu ria.

    Selain doktor yang bersara itu, pakar perubatan lain juga sering melawat makmal itu untuk memberikan idea dan maklum balas mereka tentang robot tersebut.

    “Ia seperti kanak-kanak berumur tiga tahun. Kita perlu mengajarnya segala-galanya,” kata Naceri.

    Bila Garmi bersedia digunakan pada skala komersial adalah perkara yang belum dapat diramalkan. Tetapi Naceri yakin bahawa ‘kami mesti sampai ke sana, statistik jelas menunjukkan bahawa ia adalah amat penting.’

    “Mulai 2030, kami mesti dapat mengintegrasikan jenis teknologi ini dalam masyarakat kami.”

    Dan jika ia benar-benar digunakan suatu hari nanti, penghuni rumah persaraan Sankt Vinzenz di Garmisch, rakan kongsi projek itu, kemungkinan akan melihat Garmi meluncur di koridor bangunan tersebut.

    Hanya memikirkannya membuat Puan Rohrer, seorang penghuni berusia 74 tahun di rumah itu, tersenyum.

    “Ada perkara yang dapat dilakukan oleh robot, contohnya, menyajikan minuman atau membawa makanan,” katanya sambil Eva Pioskowik, pengarah rumah itu, memotong kukunya.

    Pioskowik, yang bergelut dengan kekurangan kakitangan setiap hari, berkata, dia tidak mengharapkan robot menggantikan pekerja kesihatan.

    “Namun, ia membolehkan kakitangan kami meluangkan lebih banyak masa bersama penghuni rumah persaraan,” katanya. Bagi pasukan Naceri, salah satu cabaran utama bukanlah teknologi, perubatan atau kewangan.

    Sebaliknya, masih belum dapat dipastikan sama ada kebanyakan pesakit akan menerima robot tersebut.

    “Mereka perlu mempercayai robot,” katanya. “Mereka perlu dapat menggunakannya sama seperti kita menggunakan telefon pintar pada hari ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...