Man City didakwa kerana prosedur anti-doping

LONDON, 12 Jan – Pasukan di tangga keempat Liga Perdana, Manchester City telah didakwa oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas didapati melanggar prosedur anti-doping, menurut kenyataan badan induk itu, semalam.

Menurut FA, isu itu merujuk kepada peraturan mengenai kedudukan kelab, di mana kelab Inggeris perlu memberikan maklumat tepat berhubung sesi latihan, termasuk alamat pemain bagi membolehkan ujian anti-doping dijalankan pada bila-bila masa.

City dijangka dikenakan denda jika didapati bersalah dan bukannya hukuman yang lebih berat.

Menurut laporan BBC, maklumat yang diberikan City tidak dikemas kini susulan perubahan dalam rutin latihan kelab berkenaan yang kini di bawah kendalian Pep Guardiola.

“Manchester City didakwa berhubung peraturan anti-doping FA. Menjadi satu kesalahan apabila kelab tidak memberikan maklumat yang tepat,” kata kenyataan dikeluarkan FA itu.

City diberi tempoh sehingga 19 Januari bagi memberi maklum balas berhubung dakwaan berkenaan. – AFP