Man City rapatkan jurang dengan pendahulu Chelsea

MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 22 NOV – Raheem Sterling, Rodri dan Bernardo Silva menjaringkan gol ketika Manchester City menang 3-0 ke atas Everton untuk merapatkan jurang kepada tiga mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Dengan tumpuan dunia bola sepak pada acara di seluruh Manchester kelmarin ketika United memecat pengurus Ole Gunnar Solskjaer, City melakukan kerja mudah untuk menyingkirkan pasukan Everton yang masih dihambat oleh kecederaan pemain utama.

Pep Guardiola juga kehilangan pemain Kevin De Bruyne selepas pemain Belgium itu disahkan positif COVID-19 dan Jack Grealish yang mengalami kecederaan, tetapi masih mempunyai ramai pemain simpanan untuk pasukan Toffees tersebut.

Sterling dinafikan penalti pada pertengahan separuh masa pertama berikutan ulasan VAR selepas pengadil, Stuart Attwell pada mulanya menunjukkan titik penalti untuk kesalahan Michael Keane.

Pemain antarabangsa England itu tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol pada penampilan ke-300 dalam EPL apabila dia memanfaatkan hantaran hebat daripada Joao Cancelo dengan bahagian luar kaki kanannya untuk gol ke-98 dalam liga utama Inggeris.

Tanpa kehadiran Dominic Calvert-Lewin di bahagian hadapan, Everton jarang mencipta peluang.

Pasukan Rafael Benitez kini hanya memperoleh dua mata daripada pusingan 18 terakhir yang ditawarkan dalam EPL untuk jatuh ke bahagian bawah carta dan hanya enam mata di depan zon penyingkiran.

Percubaan jarak jauh yang menakjubkan Rodri ke sudut atas 10 minit selepas rehat menamatkan permainan tersebut.

City kemudiannya berpuas hati untuk beraksi secara santai selama setengah jam terakhir dengan tumpuan pada pertembungan Liga Juara-Juara pada hari Rabu menentang Paris Saint-Germain. – AFP

Reaksi pemain Manchester City, Bernardo Silva ketika meraikan gol ketiga pasukannya dalam perlawanan EPL menentang Everton kelmarin. – AP