Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Man United ambil risiko – Mourinho

    MANCHESTER, 17 April – Jurulatih Manchester United, Jose Mourinho (gambar, kiri) berkata taktikal berisiko yang digunakannya membuahkan hasil positif apabila skuadnya menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea 2-0, semalam.

    Mourinho merehatkan penjaring terbanyak, Zlatan Ibrahimovic dan memberikan tugas kepada Ander Herrera dan Matteo Darmian bagi merantai pergerakan dua tonggak utama The Blues, Eden Hazard dan Pedro.

    Percaturan Mourinho itu jelas mengundang masalah buat Chelsea yang gagal melakukan percubaan tepat buat kali pertama dalam saingan liga sejak 2007 dan kini mereka hanya kelebihan empat mata di depan penghuni tangga kedua, Tottenham Hotspur.

    “Mungkin kami tidak merehatkan pemain menjelang perlawanan Khamis ini (United bertemu Anderlecht dalam saingan Liga Europa), kami hanya memilih pasukan terbaik.

    “Perlawanan ini jelas dikawal 11 pemain, hanya keputusan pengadil yang menyaksikan kami bermain dengan 10 pemain pada babak kedua dan 10 minit pertama kami memberi peluang kepada Chelsea untuk mendominasi perlawanan.

    “Kami tahu bermain dengan corak permainan seperti ini akan menjadi sukar buat mereka,” kata Mourinho. Ketika United tewas 0-1 di tangan Chelsea dalam saingan Piala FA, bulan lalu, Herrera dilayangkan kad merah pada babak pertama selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Hazard.

    Namun, kali ini dia dijulang sebagai wira apabila menjadi watak penting terhadap kemenangan United ke atas Chelsea kali ini.

    Dia menjadi penggerak kepada jaringan pembukaan Marcus Rashford pada minit ketujuh selain meledak gol kedua buat skuad The Red Devils pada babak kedua. Herrera menyifatkan prestasi yang ditunjukkan United dalam perlawanan kali ini adalah sangat sempurna.

    “Saya tidak berasa gembira yang berlebihan kerana menewaskan Chelsea. Yang penting, kami tewaskan pendahulu liga. Tidak kira siapapun yang menjadi pendahulu, kami menewaskan mereka dengan penuh keyakinan. Tidak ada siapa boleh pertikaikan kemenangan kami ini,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda