Man United gah di laman West Ham

LONDON, 3 Jan – Manchester United merapatkan jurang kepada hanya satu mata dengan empat pasukan teratas Liga Perdana selepas satu kemenangan 2-0 kontroversi ke atas West Ham United yang bermain dengan 10 orang semalam.

Jaringan daripada Juan Mata dan Zlatan Ibrahimovic, gol ke-12 daripada 12 perlawanan, telah memberikan skuad Mourinho kemenangan di Stadium London selepas pemain West Ham, Sofiane Feghouli dilayangkan kad merah.

Ia merupakan kemenangan ketujuh berturut-turut United dalam semua persaingan dan sementara United kekal di tangga keenam, jelas mereka memandang ke atas berbanding ke bawah.

United mempunyai mata yang sama dengan pasukan di tangga kelima, Tottenham Hotspur, satu mata di belakang Arsenal di tangga keempat dan ketinggalan 10 mata dengan pendahulu liga, Chelsea, yang berkunjung ke Spurs Khamis ini.

Mourinho berharap ia akan menjadi satu permulaan serius untuk melayakkan skuadnya bagi Liga Juara-Juara, terutamanya dengan perlawanan menentang Liverpool selepas pertembungan Piala FA menentang Ipwich Town dan Piala Liga menentang Hull City.

Zlatan Ibrahimovic (dua kanan) menjaringkan gol kedua United dengan rembatan kencang ketika menentang West Ham semalam di Stadium London. – AP
Zlatan Ibrahimovic (dua kanan) menjaringkan gol kedua United dengan rembatan kencang ketika menentang West Ham semalam di Stadium London. – AP

Peluang-peluang United mula terhasil apabila dua pemain gantian, Marcus Rashford dan Mata, berganding bagi memberikan United pendahuluan di minit ke-63.

Rashford, yang hanya beberapa minit berada di atas padang, membuat hantaran rendah dari kiri, dan Mata merembat masuk bagi gol keenamnya musim ini.

Di minit ke-78, jaringan menjadi 2-0 selepas sepakan kencang Ibrahimovic menewaskan penjaga gol West Ham bagi jaringannya yang ke-18 sejak menyertai United dari Paris Saint-Germain.

Ulang tayang menunjukkan pemain berusia 35 tahun itu berada di kedudukan ofsaid, namun jaringan itu dibenarkan, satu lagi punca kemarahan West Ham dan pengurus mereka, Slaven Bilic. – AFP