LOS ANGELES, 16 Julai – Marcus Rashford meledakkan dua gol bagi membantu Manchester United melakar kemenangan 5-2 ke atas Los Angeles Galaxy dalam aksi sulung siri jelajah pra musim Amerika Syarikat pagi tadi.
Dengan pemain yang baru ditandatangani, Romelu Lukaku diletakkan di bangku simpanan, penyerang England, Rashford memberi mesej jelas kepada pengurus, Jose Mourinho dengan aksi bertenaga yang dipamerkannya.
Rashford membuka tirai jaringan selepas perlawanan bermula dua minit hasil kesilapan daripada Ariel Lassiter berhampiran kotak penalti Galaxy sekali gus menewaskan penjaga gol lawan, Jon Kempin.
Pemain berusia 19 tahun itu kemudiannya meledakkan gol kedua pada minit ke-20 selepas menyempurnakan umpanan cantik daripada Juan Mata. Marouane Fellaini meletakkan United semakin selesa di depan apabila menjaringkan gol ketiga lima minit kemudian.
Mourinho melakukan pertukaran hampir seluruh kesebelasan utamanya di separuh masa kedua dan memberi penampilan pertama kepada Lukaku yang dibeli daripada Everton awal minggu ini.


Penyerang dari Belgium itu nyaris membuka akaun golnya bersama United selang empat minit kemudian, namun menyaksikan percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Galaxy.
Selebihnya menggambarkan ia satu perlawanan latihan, dengan United mendominasi perlawnanan menentang barisan pemain Galaxy, yang juga membuat pertukaran besar di separuh masa.
Kedua Anthony Martial dan Henrikh Mkhitaryan nyaris menemui sasaran sementara Victor Lindelof sepatutnya melakukan lebih baik apabila percubaannya dari jarak dekat melepasi palang.
Namun pada minit ke-67, United mendapat jaringan keempat mereka apabila Martial meluru ke depan dan membuat hantaran kepada Mkhitaryan yang tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol.
Martial menjadikan kedudukan 5-0 lima minit kemudian, menyambut hantaran daripada Timothy Fosu-Mensah.
Sementara Galaxy, yang gagal membuat sebarang percubaan gol di separuh masa pertama, menjaringkan satu daripada dua gol sagu hati apabila Giovani dos Santos mengelirukan Lindelof dan menewaskan Joel Pereira.
Tandukan Dave Romney pada minit ke-89, yang kemudian terkena Dos Santos dan seterusnya mamasuki gawang telah menjadikan kedudukan akhir 5-2. – AFP