Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan penyokong kelab bola sepak dan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat melalui aktiviti sukan, Perlawanan Persahabatan Futsal Penyokong Veteran Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022 telah diadakan di Padang Hoki Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Jalan Tungku Link, baru-baru ini.
Man Utd Fan Veteran muncul juara, sementara tempat kedua diduduki oleh pasukan Arsenal Fans, diikuti pasukan Liverpool Bru Reds di tempat ketiga, dan akhir sekali Liverpool LG di tempat keempat.
Bermain dalam format pusingan robin, pasukan Man Utd Fan Veteran mengungguli carta dengan tujuh mata. Pasukan tersebut mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Liverpool LG 3-1, Arsenal Fans 2-0, dan seri 0-0 menentang Liverpool Bru Reds.
Sementara itu, Arsenal berjaya mengutip enam mata, manakala Liverpool Bru Reds dan Liverpool LG masing-masing dengan dua dan satu mata.
Kejohanan berkenaan dibuka kepada pemain veteran berumur 40 tahun dan ke atas.