Man Utd patut contohi Chelsea

LONDON, 26 NOV – Jurang 12 mata antara pendahulu Liga Perdana, Chelsea dan Manchester United selepas 12 perlawanan menyebabkan Ole Gunnar Solskjaer kehilangan tugasnya sebagai pengurus Red Devils tapi Blues mencetus inspirasi yang boleh menjadi ikutan United musim ini.

Tidak sampai setahun lalu, Chelsea memecat bekas pemain legenda yang juga pengurus pasukan, Frank Lampard dari Stamford Bridge. Empat bulan kemudian skuad yang sama dinobatkan sebagai juara Eropah hasil pengurusan bijak Thomas Tuchel.

Mereka terus maju ke depan musim ini dalam usaha Chelsea untuk mematahkan cengkaman Manchester City dan Liverpool dalam perebutan kejuaraan sejak empat musim lalu.

Skuad Tuchel kini mendahului tiga mata ke atas City yang berada di tangga kedua dan Liverpool empat mata di belakang mereka.

Walaupun kehilangan pemain termahal Romelo Lukaku akibat kecederaan, Chelsea masih mampu tampil dengan prestasi terbaik mereka sejak kembali daripada rehat antarabangsa pada November. Mereka menewaskan Leicester 3-0 di King Power hujung minggu lalu sebelum Juventus mengalami kekalahan terbesar dalam Liga Juara-Juara dengan keputusan 4-0 pada Selasa.

“Saya gembira dapat bersama kelab seperti hari ini dan menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Mereka sangat hebat dan mempunyai keazaman yang tinggi dan sentiasa mahukan kemenangan. Jadi kami mahu tenaga dan suasana ini diteruskan.

“Cabaran sentiasa ada dan ia amat bagus kerana membuatkan kami sentiasa berusaha,” kata Tuchel. – AFP

Gambar fail menunjukkan pemain Chelsea N’Golo Kante (tengah) mengawal bola semasa perlawanan Liga Juara-Juara di antara Chelsea dan Juventus di stadium Stamford Bridge. –AP