Manchester laksana sekatan pergerakan

LONDON, 21 OKT – Perdana Menteri Britain Boris Johnson semalam mengumumkan  secara sepihak akan mengenakan sekatan tahap tertinggi di Greater Manchester untuk membendung COVID-19, setelah gagal mencapai kesepakatan dengan pegawai tempatan, lapor agensi Anadolu.

Greater Manchester akan memasuki sekatan Tahap Tiga, melarang perhimpunan di dalam bangunan dan menutup pub dan bar kecuali jika mereka menyajikan hidangan utama.

Langkah terbaharu ini juga untuk menggalakkan orang ramai tidak melakukan perjalanan masuk atau keluar wilayah seminit sebelum tengah malam Jumaat.

Ia disertakan pakej sokongan ekonomi sebanyak £22 juta (AS$28 juta) untuk Greater Manchester, yang menimbulkan kemarahan pemimpin tempatan, termasuk Datuk Bandar Andy Burnham, serta anggota parlimen dan pegawai terpilih lain, yang menganggap jumlah tersebut tidak mencukupi.

Johnson berkata tawaran ‘murah hati’ itu diberikan kepada Greater Manchester, sama seperti yang ditawarkan kepada Merseyside – wilayah yang termasuk Liverpool – dan Lancashire, yang telah pun berada pada Tahap Tiga, tetapi pemimpin tempatan menolaknya.

Sementara itu, data yang dikeluarkan kerajaan semalam menunjukkan 21,331 orang diuji positif COVID-19 di seluruh UK dalam tempoh 24 jam terakhir – jumlah harian tertinggi sejak pandemik itu bermula. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 762,542. – Bernama