Manchester United gah bertemu Leeds

LONDON, 21 DIS – Manchester United membelasah Leeds United 6-2 untuk melonjak ke tangga ketiga di Liga Perdana Inggeris kelmarin sementara Leicester berjaya memberi halangan kepada Tottenham dalam memburu kejuaraan liga.

Perlawanan liga kali pertama dalam tempoh 16 tahun dan Leeds United dilihat tidak sabar untuk beraksi namun pasukan Ole Gunnar Solskjaer membuktikan bahawa mereka bukan tandingan dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford.

United, yang membuat permulaan kurang meyakinkan pada awal musim, kini mengutip 26 mata – lima mata di belakang Liverpool dengan kelebihan satu perlawanan.

Mereka dipisahkan dengan hanya satu mata dengan pasukan kedua, Leicester, yang menewaskan Spurs 2-0 dalam perlawanan yang melengkapkan minggu yang perlu dilupakan oleh Jose Mourinho.

United memenangi kesemua enam perlawanan di gelanggang lawan dalam pertemuan di Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi hanya mencatat satu kemenangan di laman sendiri sebelum kelmarin.

Aksi pemain perancang Manchester United, Bruno Fernandes ketika menyumbat gol ketiga untuk pasukannya semasa pertemuan menentang Leeds United.- AP

Leeds dijangka memberikan tentangan kepada benteng pertahanan United tetapi Scott McTominay berjaya menjaringkan dua gol terpantas dalam sejarah EPL, selepas meletakkan pasukan 2-0 di hadapan dalam masa tiga minit perlawanan.

Marcelo Bielsa tetap bermain dengan cara permainan yang serupa meskipun pasukan United mendahului 4-0 selepas 37 minit perlawanan berlangsung, dengan Bruno Fernandes dan Victor Lindelof berjaya mencetak nama selaku penjaring.

Liam Cooper berjaya merapatkan jurang untuk Leeds akhir minit separuh masa pertama tetapi United kembali mengganas selepas separuh masa bersambung.

Daniel James menjadikan kedudukan 5-1 dan Fernandes sekali lagi berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penalti sebelum Stuart Dallas berjaya menjaringkan gol untuk Leeds United.

Solskjaer memuji persembahan United sebagai ‘luar biasa’ dari awal perlawanan sehingga wisel penamat.

“Cuba bayangkan jika ada 75,000 peminat di sini, ia akan dikenang dalam sejarah sebagai salah satu persembahan luar biasa menentang Leeds,” dia memberitahu Sky Sports.- AFP