Mancini ingin tahu kehebatan Tonali

GENK, Belgium, 20 Nov – Pemain remaja dari Itali, Sandro Tonali akan menjadi pemain pertama yang lahir dalam milenium untuk beraksi bagi Azzurri awal pagi esok dalam perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat (AS).

Berita yang tersebar tentang Tonali, 18, meningkatkan debaran aksi remaja itu sehingga pemain tengah itu digelar sebagai Andrea Pirlo seterusnya.

Tonali tidak pernah beraksi dalam pasukan kelompok teratas Itali, dan membuat kemunculan profesional hanya 14 bulan lalu bagi pasukan Serie B, Brescia, tetapi cukup mengagumkan untuk dipanggil oleh pasukan kebangsaan.

Dia tidak beraksi dalam perlawanan yang berkesudahan seri 0-0 menentang Portugal dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah tetapi dia dan pemain muda yang lain akan mendapatkan peluang mereka menentang AS.

“Kami di sini melihat pemain-pemain muda seperti Tonali,” kata jurulatih Itali, Roberto Mancini semalam. “Dan saya juga ingin tahu kehebatan mereka.

Gambar pada 12 November 2018 menunjukkan Tonali ketika menjalani sesi latihan dengan pasukan kebangsaan Itali di Coverciano Sport Center. – AP

“Jika pemain-pemain yang beraksi Sabtu lalu pulih dan dalam keadaan baik mereka akan beraksi. Tetapi sudah tentu terdapat ruang bagi yang lain. Kami ingin melihat Tonali beraksi, begitu juga dengan pemain muda yang lain.”

Lima dari pemain yang beraksi di San Siro pada Sabtu lalu tidak dapat beraksi iaitu Giorgio Chiellini, Alessandro Florenzi, Lorenzo Insigne, Ciro Immobile dan Jorginho dibenarkan untuk kembali ke kelab mereka, begitu juga dengan Lorenzo Pellegrini.

Pemain tengah Sassuolo, Stefano Sensi dan pemain penyerang Hoffenheim, Vincenzo Grifo juga akan beraksi bagi kemunculan pertama mereka.

Mancini, sangat berharap siapa pun yang dipilihnya akan menjaringkan gol menentang AS, dan menamatkan pergelutan Itali.

“Ia adalah satu masalah kerana jika anda tidak menjaringkan gol anda tidak menang,” kata Mancini. “Tetapi dalam perlawanan menentang Ukraine, Poland, dan Portugal kami mencipta lebih dari 20 peluang.” – AP