Mandanda setuju lanjutkan kontrak bersama Marseille

MARSEILLE, 27 OGOS – Penjaga gol Marseille, Steve Mandanda kelmarin telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab Ligue 1 yang disertainya sejak tahun 2007 untuk tempoh tiga musim lagi.

Penjaga gol kebangsaan Perancis berusia 35 tahun telah membuat rekod penampilan sebanyak 549 kali buat pasukan yang menduduki tangga ke-2 musim lalu.

Mandanda berpindah ke Stade Velodrome dari pasukan divisyen dua, Le Havre, 23 tahun yang lalu dan terus setia bersama kelab Marseille, namun pernah berpindah ke Crystal Palace pada musim 2016/2017.

“Pada 25 Ogos 2007, Steve Mandanda membuat penampilan pertama untuk OM menentang Caen. Pada 26 Ogos, 13 tahun dan sehari kemudian, penjaga gol itu telah melanjutkan kontraknya untuk tiga musim lagi,” Marseille mengumumkan dalam kenyataan.

Ia mengimbau kembali bagaimana penjaga gol yang kurang pengalaman kelahiran Kinshasa, Mandanda telah diberi kepercayaan untuk menjadi penjaga gol pasukan utama Marseille dengan segera menggantikan penjaga gol utama, Cedric Carrasso, ‘meletakkannya di gawang gol, hampir tidak pernah melepaskan kedudukan tersebut’. – AFP