DAKAR, 1 Jun – Apabila Senegal, yang tiada mempunyai harapan langsung sebelum kejohanan, mencipta kejutan dengan mara ke suku akhir Piala Dunia 2002 di Korea Selatan, Sadio Mane, yang berusia 10 tahun ketika itu dilihat dalam keadaan kekaguman.
Idolanya ketika zaman kanak-kanak adalah El Hadji Diouf, pemain penyerang yang boleh menghasilkan kekacauan di kalangan pemain pertahanan dalam perlawanan global, bermula dengan juara Perancis.
Senegal mengejutkan Les Blues dalam perlawanan pembukaan di Seoul, mengekang Denmark dan Uruguay dan menewaskan Sweden untuk mara ke suku akhir sebelum tewas kepada Turki.
Keletihan menjejaskan peluang ‘Teranga Lions’ untuk menjadi pasukan separuh akhir pertama dari Afrika dan skuad itu pulang sebagai wira-wira negara.

Sekarang peranan itu sudah terbalik, dengan Diouf yang sudah bersara memberikan pujian kepada penjaring gol Liverpool, Mane, ketika Senegal bersedia bagi pengembaraan kedua Piala Dunia 16 tahun kemudian.
Mane digambarkan pemain utama dalam skuad itu, yang disertainya selepas beraksi bersama Liverpool menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara.
Ketika penyerang dari Mesir, Mohamed Salah mencuri tumpuan sepanjang musim, Mane juga terlibat dalam kuasa serangan ‘Fab Three’ yang dilengkapkan dengan Roberto Firmino dari Brazil.
Apabila Salah terpaksa meninggalkan padang kerana mengalami kecederaan dalam perlawanan Liga Juara-Juara, Mane mengambil alih tugasan serangan dan menjaringkan satu-satunya gol Liverpool dalam kekalahan 3-1 kepada Real Madrid. – AFP